Terbaru

PUNB sedia dana RM173.8j untuk peniaga Bumiputera


PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bercadang menyalurkan pinjaman sehingga RM173.8 juta kepada usahawan Bumiputera tahun ini dalam usaha meningkatkan daya saing golongan itu khususnya dalam sektor peruncitan dan pemborongan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata pinjaman itu akan disalurkan menerusi empat skim yang ditawarkan PUNB iaitu Skim PROSPER Runcit, Skim Pemborong PROSPER, Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Skim PROSPER Siswazah.
Katanya, PUNB juga akan melaksanakan program taklimat dan latihan keusahawanan yang menjurus kepada sektor pemborongan, pengedaran dan peruncitan secara agresif di seluruh negara.“PUNB akan terus memberi tumpuan kepada empat skim pinjaman sedia ada bagi memastikan peluang penyertaan Bumiputera dalam perniagaan diperluaskan dalam setiap peringkat rantaian bekalan.

“Pembabitan usahawan Bumiputera masih kecil dalam semua peringkat rantaian bekalan. Justeru, PUNB percaya mereka perlu diberikan peluang berniaga sama ada di peringkat pembuatan, pemborongan, pengedaran dan peruncitan menerusi pinjaman yang diberikan,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, menerusi Skim Pemborong PROSPER, PUNB menyasar untuk mengagihkan pinjaman berjumlah RM76.5 juta kepada 40 syarikat; PROSPER Runcit (RM62.8 juta kepada 280 perniagaan); Skim PKS (RM25 juta kepada 20 syarikat) dan PROSPER Siswazah RM9.5 juta untuk dimanfaatkan oleh 200 siswazah.

Jelasnya lagi, setakat September tahun lalu PUNB sudah mengagihkan pinjaman berjumlah RM443.4 juta bagi Skim PKS; Skim Pemborong PROSPER (RM204.3 juta); Skim PROSPER Runcit (RM345.9 juta) dan Skim PROSPER Siswazah (RM18.1 juta).

Dalam pada itu, Mohd Nasir berkata, PUNB turut mensasarkan seramai 500 graduan muda dilatih menerusi Program Siswazah Perantis tahun ini yang ditawarkan khusus kepada siswazah yang serius mahu menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, program latihan sangkut itu yang dilanjutkan sehingga akhir tahun ini menempatkan siswazah terpilih di 380 syarikat naungan PUNB dan juga syarikat lain, yang mana setakat ini telah menarik lebih 2,000 orang sejak diperkenalkan Mei 2009.

“PUNB juga akan memberi tumpuan kepada Skim Siswazah tahun ini yang memberi peluang kepada siswazah muda yang serius ingin berniaga, yang mana mereka boleh mencari pengalaman sebagai perantis dan seterusnya mendapatkan pinjaman,” katanya.

Mengenai pembelian hartanah untuk disewakan kepada usahawan, Mohd Nasir berkata, PUNB merancang membeli 38 premis terdiri daripada kilang kecil dan kedai yang bernilai kira-kira RM40 juta tahun ini.

“Sehingga kini PUNB sudah membeli 57 premis perniagaan dengan lebih separuh daripadanya sudah disewakan kepada usahawan. Sebahagian daripada premis yang dibeli itu masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat ramai usahawan yang mahu menyewa hartanah PUNB tetapi kesukaran mendapat lokasi strategik dan harga yang terlalu tinggi menjadi kekangan utama.

“PUNB menawarkan kadar diskaun sewaan sehingga 20 peratus untuk tempoh tiga tahun pertama seseorang usahawan itu beroperasi bagi membantu mereka menstabilkan perniagaan,” katanya.

http://softwareperniagaan.mybizcore.com

Cloud Based POS System