Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera SUPERB
Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera SUPERB
Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera (SUPERB) akan memiliki rangka kerja baru yang lebih cekap bagi menjana hasil yang jauh lebih berkesan berbanding skim pembiayaan mikro sedia ada.
Ketua Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Husni Salleh, berkata skim itu dengan peruntukan dana RM100 juta bagi tempoh tiga tahun adalah antara fokus utama dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
“Kami tidak akan buat SUPERB seperti skim pembiayaan biasa yang lain. Mesti ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu, rangka kerja lebih menyeluruh dan penyelarasan supaya hasilnya lebih tepat.
“Saya harap pengumuman khusus dan perincian skim ini akan dibuat tidak lama lagi selepas MEB bersidang dan mendapat persetujuan ahli baru nanti,” katanya dalam satu pertemuan dengan BH di Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pelancaran SUPERB yang akan diletakkan di bawah TERAJU bagi membantu syarikat permulaan dengan kemudahan geran hingga RM500,000.
Ia sejajar hasrat kerajaan menambah usahawan Bumiputera bagi bidang berasaskan pengetahuan seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau, yang akan dibimbing menerusi perkhidmatan mentor oleh usahawan yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing.
* Sumber Berita Harian