Tuesday, May 8, 2012

PENYATA PENDAPATAN / PENYATA UNTUNG RUGI (INCOME STATEMENT)

PENYATA PENDAPATAN / PENYATA UNTUNG RUGI (INCOME STATEMENT)

Selain dari Kunci Kira-kira, maklumat berkaitan dengan prestasi perniagaan juga boleh dianalisa dengan menggunakan Penyata Pendapatan. Penyata Pendapatan (Income Statement) atau Penyata Untung dan Rugi (Profit & Loss Statement (P & L) statement) menunjukkan ringkasan pendapatan dan perbelanjaan pada masa tertentu. Ia dapat menunjukkan apa yang berlaku di dalam butiran kunci kira-kira. Aset selepas digunakan, ia menjadi perbelanjaan kepada perniagaan. Bagaimana ianya boleh berlaku? Ia boleh berlaku melalui perbelanjaan yang dipanggil susut nilai (depreciation). Ianya juga menunjukkan nilai dalam bentuk RM produk dan perkhidmatan yang dijual, sama ada dalam bentuk tunai atau kredit.

Di antara butiran yang perlu ada di dalam Penyata Pendapatan ialah:
a. Hasil
b. Keputusan aktiviti kendalian
c. Kos kewangan
d. Pembahagian keuntungan dan kerugian daripada syarikat sekutu dan usahasama
e. Belanja cukai
f. Untung atau rugi daripada aktiviti biasa
g. Kepentingan minoriti
h. Untung atau rugi bersih bagi sesuatu tempoh

Pendapatan
Pendapatan boleh diterima dalam dua bentuk, iaitu tunai dan bukan tunai. Pendapatan tunai ialah bayaran yang diterima dari jualan ladang dan pendapatan lain. Pendapatan bukan tunai pula diterima dalam bentuk barangan dan perkhidmatan. Bayaran yang diterima dalam bentuk hasil padi, umpamanya ialah pendapatan bukan tunai. Satu lagi ialah hasil ladang yang digunakan sendiri oleh keluarga petani, seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang digunakan sendiri.

Perbelanjaan
Perbelanjaan juga boleh diterima dalam dua bentuk, iaitu tunai dan bukan tunai. Perbelanjaan tunai meliputi pembelian baja, racun, baka ternakan, makanan ternakan dan biji benih. Perbelanjaan bukan tunai pula ialah perbelanjaan seperti susut-nilai jentera, peralatan dan bangunan. Walaupun tiada pembayaran tunai dibuat untuk susut-nilai tahunan, tetapi pengurangan nilai ini menunjukkan satu perbelanjaan perniagaan dan mesti dimasukkan ke dalam penyata pendapatan.

Jadual menunjukkan penyata pendapatan Perniagaan ABC, sebuah syarikat perladangan yang menunjukkan pendapatan dan perbelanjaan ladang pada tahun 2008.

Pendapatan Ladang tunai
Pendapatan tunai biasanya diperolehi daripada jualan tanaman seperti getah, jagung, buah-buahan dan ternakan kambing. Sebarang keuntungan atau kerugian hasil daripada penjualan asset yang digunakan di lading seperti jentera dan mesin juga dikira sebagai pendapatan lading. Nilai yang disenaraikan adalah perbezaan di antara harga jualan asset dengan nilai bukunya. Jika harga jualan lebih besar daripada nilai buku, keuntungan ini dianggap sebagai pendapatan tambahan. Keuntungan ini mungkin timbul kerana susut-nilai yang besar telah dikira terdahulu. Kerugian pula berlaku apabila harga jualan kurang dari niali buku. Ini menunjukkan jumlah susut-nilai telah dikira rendah pada tahun-tahun terdahulu, atau asset terlebih nilai dalam inventori.

Perbelanjaan Ladang tunai
Terdapat dua kategori perbelanjaan ladang tunai yang ditunjukkan dalam Jadual 7.2. Perbelanjaan tetap tunai termasuklah cukai tanah, bunga dan sewa. Susut nilai tidak termasuk dalam perbelanjaan tetap tunai. Perbelanjaan berubah tunai pula termasuklah baja, biji benih, makanan ternakan, upah buruh dan kos input-input lain yang digunakan dalam proses pengeluaran.

Pelarasan bagi pendapatan bukan tunai
Di antara butirannya ialah susut-nilai dan nilai inventori. Pelarasan bagi pendapatan bukan tunai seperti susut nilai ini akan mengurangkan keuntungan perniagaan pada tahun tersebut. Begitu juga pelarasan bukan tunai yang kedua ialah nilai inventori. Di antara contoh inventori ialah aset yang mempunyai nilai di tambah diladang, aset yang dibeli untuk dijual semula, dan bekalan makanan seperti makanan ternakan dan baja diambilkira dalam pelarasan ini. Baka ternakan yang bertambah seperti kambing baka dari tiga ekor kepada lima ekor dianggap sebagai aset dan dianggap sebagai perubahan inventori. Nilai perubahan inventori positif jika ada pertambahan inventori dan negatif jika sebaliknya berlaku.

Pelarasan yang terakhir untuk pendapatan bukan tunai ialah nilai keluaran yang digunakan oleh keluarga peladang.

Pendapatan ladang bersih tunai
Pendapatan ladang bersih tunai ialah perbezaan di antara jumlah pendapatan tunai dengan jumlah perbelanjaan tunai. Pendapatan ini lebih tepat jika dianggap sebagai aliran tunai bersih tunai daripada perniagaan ladang setelah diselaraskan untuk sebarang keuntungan atau kerugian daripada jualan aset. Pendapatan ladang bersih tunai tidak boleh dianggap keuntungan perniagaan pada tahun tersebut kerana ia tidak memasukkan butiran seperti susut-nilai dan perubahan inventori.


Jadual 7.2: Penyata Pendapatan (atau Akaun Untung Rugi) Perniagaan ABC pada 31 hb. Disember 2008 (dalam RM)

PENDAPATAN LADANG TUNAI
Jualan ternakan 20,000,000
Jualan getah 8,000,000
Pendapatan tunai lain 800,000
Untung/rugi atas jualan aset 13,626
Jumlah pendapatan tunai __ 28,813,626

PERBELANJAAN LADANG TUNAI
Bahan mentah (Raw materials) 10,000,000
Kos pengeluaran (direct manufacturing costs)10,000,000
Perbelanjaan Pemasaran (Mkting. Expenses):
Upah (wages) 1,000,000
Komisyen pengangkutan (commissions transportation)500,000
Pelancongan dan promosi (advertising & promotion)500,000
Perbelanjaan Pentadbiran (Administrative expenses)
Yuran audit (auditing fees) 57,445
Gaji pengurusan (management salary) 1,000,000
Perbelanjaan pejabat (office expenses) 1,000,000
Perbelanjaan am (General expenses)
Insuran (insurance) 500,000
Cukai (taxes) 250,000
Sewa (rent) 250,000
Pembaikan (repairs) 250,000
Utiliti (utilities) 250,000
Jumlah perbelanjaan tunai __ 26,057,445

Pelarasan bagi pendapatan bukan tunai
Susut nilai (depreciation)
700,000

Pendapatan Kasar (Untung kasar) __ 2,056,181
Lain-lain Pendapatan 454,083

Pendapatan ladang bersih (Untung bersih) __ 2,510,264

Analisis Nisbah-nisbah keberuntungan (Profitability Ratios)
Nisbah keberuntungan menggambarkan peratus keberuntungan syarikat berbanding jualan yang telah dibuat, dan jumlah aset yang telah digunakan sepanjang satu tempoh kewangan.

Antara nisbah keberuntungan yang penting termasuk nisbah keuntungan kasar berbanding dengan jualan (gross profit ratio), nisbah keuntungan bersih berbanding dengan jualan (net profit ratio), nisbah keuntungan berbanding dengan jumlah aset (return on capital employed) dan nisbah pulangan pelaburan (return on investment).

Formula untuk mengira nisbah keuntungan kasar ke atas jualan (profit on sales ratio) adalah:

(keuntungan kasar)/(jumlah jualan) x 100% = X%

Nisbah ini menunjukkan keberkesanan pengurusan PNK mengendalikan perniagaan. Contohnya jika nilai X ialah 25%, ini bermakna bagi setiap RM1 jualan, sebanyak RM0.25 diperolehi sebagai keuntungan kasar.

Formula untuk mengira nisbah keuntungan bersih ke atas jualan (net profit on sales ration, POS) adalah:

(keuntungan bersih)/(jumlah jualan) x 100% = X%

Nisbah ini menunjukkan keberkesanan pengurusan PNK mengendalikan perniagaan. Contohnya jika nilai X ialah 10%, ini bermakna bagi setiap RM1 jualan, sebanyak RM0.10 diperolehi sebagai keuntungan bersih. Ia menunjukkan keuntungan yang diperolehi bagi setiap 1 RM jualan.

Formula untuk mengira nisbah keuntungan berbanding dengan jumlah aset (atau nisbah tanggungan) adalah:

(keuntungan bersih)/(jumlah aset) x 100% = X%

Nisbah ini tanggungan ini digunakan untuk menunjukkan kebolehan syarikat untuk menggunakan aset bagi menghasilkan keuntungan. Sekiranya nilai X ialah 15%, bererti setiap RM1 aset yang digunakan, telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM0.15.

Nisbah-nisbah kecairan (Efficiency Ratios)
Nisbah kecairan mengukur keupayaan sesebuah entiti perniagaan untuk membayar hutang jangka pendeknya tepat pada waktunya. Keupaayan entiti perniagaan tersebut melaksanakan tanggungjawab tersebut tentunya bergantung kepada kecukupan wang tunai dan aset-aset lain yang boleh ditukar kepada tunai sebelum tanggungan (liabiliti) semasa tersebut matang. Ada dua formula yang kerap digunakan untuk mengukur nisbah kecairan, iaitu nisbah semasa (current ratio) dan nisbah kecairan (acid test ratio atau quick asets ratio).

i) Formula untuk nisbah semasa (current ratio)

(jumlah aset semasa)/(jumlah liabiliti semasa) = X:Y

Contohnya nisbah semasa ialah 2 kali. Ini bermakna bagi perniagaan tersebut aset semasa entiti perniagaan tersebut melebihi sebanyak 2 kali ganda dari tanggungan semasa. Perniagaan ini mampu memenuhi tanggungan dan bil-bil semasa (current bills and obligation).

ii) Formula untuk nisbah kecairan (acid test ratio atau quick asets ratio)

(aset semasa-stok inventori)/(liabiliti semasa) = X:Y

Disebabkan stok inventori merupakan aset yang mempunyai kecairan yang rendah, maka ada kalanya ianya diasingkan dari aset semasa, maka didapati aset semasa yang lebih mudah dicairkan. Contohnya nisbah kecairan ialah 1.2 kali. Ini bererti aset semasa yang mudah ditukar kepada tunai adalah 1.2 kali ganda dari liabbiliti semasa. Jika nisbah kecairan lebih dari satu, bererti firma tidak menghadapi masalah kecairan.

Nisbah-nisbah kecekapan (Efficiency Ratios)
Nisbah kecekapan mengukur kecekapan entiti perniagaan menggunakan sumbernya untuk menghasilkan jualan. Sebagai contoh, firma yang menghasilkan jualan bernilai RM8 juta menggunakan aset bernilai RM4 juta tentulah lebih cekap menggunakan sumbernya berbanding dengan firma menggunakan bernilai RM6 juta.

i) Nisbah pulangan aset tetap (fixed aset turnover ratio)
Nisbah pulangan aset tetap mengukur kecekapan firma membuat pelaburan ke atas aset tetapnya. Formula pengiraan:

(Jumlah Jualan)/(Jumlah aset tetap) = Pulangan (turnover)

(ii) Nisbah pulangan jumlah aset (total aset turnover ratio)
Nisbah pulangan jumlah aset mengukur kecekapan firma menggunakan aset untuk menghasilkan jualan. Formula pengiraan:

(Jumlah Jualan)/(Jumlah aset tetap) = Pulangan (turnover)

Semakin tinggi pulangan, bererti semakin besar pulangan ke atas pelaburan (ROI). Kebiasaannya nilai pulangan (turnover) dengan pulangan perniagaan lain dalam industri yang sama (industry norms). Sekiranya nilai pulangan rendah, pihak pengurusan perniagaan perlu menggunakan aset mereka dengan lebih cekap, meningkatkan harga keluaran jika boleh, menjual aset yang tidak efektif, atau mengurangkan akaun hutang tak berbayar.



** Untuk memudah pengiraan Penyata Kunci kira-kira. Dapat kan software pengiraan penyata / aliran tunai kewangan perniagaan dalam bahasa inggeris/english dan bahasa malaysia  di http://mybizplan.50webs.com/rp.html

Share

Widgets

Popular Posts