Thursday, December 30, 2010

Membantu PKS Mengurangkan Kesan Kenaikan Kos

Membantu PKS Mengurangkan Kesan Kenaikan Kos


Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan segmen penting ekonomi yang mencakupi 99.2% daripada jumlah pertubuhan perniagaan, menggaji 5.6 juta orang pekerja dan menyumbang kira-kira 32% kepada keluaran dalam negeri kasar. Bagi memastikan PKS terus berdaya maju, Kerajaan ingin mengumumkan langkah-langkah berikut untuk membantu PKS mengurangkan kesan kenaikan kos operasi mereka dengan lebih baik. Langkah-langkah ini bertujuan:


1. menyediakan saluran bantuan kepada PKS; dan
2. meningkatkan kecekapan dan produktiviti PKS.



1. Menyediakan Saluran Bantuan kepada PKS


a) Dengan kenaikan kos operasi, beberapa golongan PKS mungkin menghadapi masalah menguruskan kedudukan kewangan mereka. Sehubungan dengan itu, langkah-langkah berikut akan diperkenalkan:


i) Kemudahan Bantuan PKS Berjumlah RM700 juta


Bank Negara Malaysia akan menubuhkan Kemudahan Bantuan PKS berjumlah RM700 juta untuk membantu PKS berdaya maju yang menghadapi masalah kewangan, untuk menangani masalah sementara aliran tunai mereka yang berpunca daripada kenaikan kos. Kemudahan ini bertujuan membantu PKS yang berdaya maju untuk meneruskan perniagaan mereka dan mengekalkan tenaga kerja.

Di bawah Kemudahan ini, PKS berdaya maju boleh mendapatkan pembiayaan pada kadar 4% setahun daripada mana-mana bank perdagangan dan bank Islam, serta SME Bank, AgroBank, Bank Rakyat dan EXIM Bank. Bagi Kemudahan ini, perlindungan jaminan sebanyak 80% akan diberikan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC). Jumlah pembiayaan maksimum Kemudahan ini ialah RM1.5 juta bagi setiap PKS, dengan tempoh pembiayaan maksimum lima tahun. Permohonan untuk Kemudahan ini akan dibuka selama dua tahun, bermula 1 Ogos 2008.

Untuk maklumat lanjut, PKS boleh menghubungi institusi kewangan pelaksana atau BNMTELELINK di 1-300-88-5465.

ii) Penyusunan Semula Pinjaman PKS


Pelanggan jaminan CGC yang menghadapi masalah aliran tunai akibat kenaikan kos operasi boleh berbincang dengan CGC untuk mengkaji semula pakej pinjaman mereka. Susulan perbincangan, jadual pembayaran balik boleh disusun semula. Pelanggan Skim Jaminan Akses Terus ( Direct Access Guarantee Scheme , DAGS) digalakkan untuk menghubungi talian bantuan CGC di 03-7880 0088 bagi mendapatkan nasihat dan bantuan. Pelanggan bukan DAGS CGC perlu menghubungi terus bank masing-masing untuk penyusunan semula pinjaman sedia ada mereka.

Peminjam bukan-CGC yang menghadapi masalah kewangan atau masalah aliran tunai dalam persekitaran perniagaan semasa, dinasihati untuk menghubungi segera Unit PKS institusi perbankan masing-masing bagi membincangkan kemungkinan penyelesaian melalui penyusunan semula. Pengambilan langkah yang kena pada masanya boleh mengelakkan masalah berkaitan kemudahan pembiayaan yang mungkin timbul.
b) Selain itu, PKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat berikut:


i) Khidmat Nasihat dalam Menguruskan Kos


CGC dan agensi berkaitan lain akan memberikan khidmat nasihat mengenai langkah-langkah yang berkesan dari segi kos untuk menguruskan perniagaan mereka. Sesi taklimat secara percuma diadakan dengan tujuan memberi panduan kepada PKS tentang cara mengurus perniagaan mereka dengan lebih baik dalam persekitaran kos yang semakin meningkat dan lebih sukar ini. Semua PKS digalakkan menyertai sesi ini.

Pusat Khidmat Pelanggan
Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad
Aras 2, Bangunan CGC
Kelana Business Centre, 97 Jalan SS 7/2
47301 Petaling Jaya, Selangor

Tel: 03-7880 0088
Faks: 03-7803 0077
E-mel: csc@cgc.com.my

ii) Pusat Khidmat Nasihat Kewangan Setempat Bank Negara Malaysia


PKS boleh menghubungi BNMLINK (yang memberikan perkhidmatan pelanggan di kaunter) dan BNMTELELINK untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program kewangan dan bukan kewangan yang disediakan oleh Kerajaan.

BNMTELELINK
Jabatan Komunikasi Korporat
Bank Negara Malaysia
P.O.Box 10922
50929 Kuala Lumpur

Tel: 1-300-88-5465 (LINK)
Faks: 03-2174 1515
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my

iii) Unit PKS di Institusi Perbankan


PKS juga boleh menghubungi Unit PKS institusi perbankan yang boleh membantu PKS dengan memberikan maklumat tentang pelbagai sumber pembiayaan yang ada, memudahkan proses permohonan pinjaman, menangani masalah yang dihadapi PKS dalam mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan, dan memberikan khidmat nasihat.

iv) Pusat Khidmat Nasihat SME Bank


Pusat Khidmat Nasihat SME Bank bekerjasama dengan Agensi lain yang berdaftar dengannya untuk memberikan perkhidmatan sokongan dan khidmat nasihat kepada PKS. Perkhidmatan ditawarkan kepada PKS dalam semua peringkat kitaran perniagaan bagi membantu mereka berkembang, membuat inovasi dan mencapai kecemerlangan dalam aktiviti perniagaan mereka, di samping mengatasi masalah kewangan. Nasihat pakar dalam bidang pemasaran, pembangunan perniagaan, operasi dan khidmat pelanggan turut disediakan.

Pusat Khidmat Nasihat
SME Bank
Tingkat 7, Menara SME Bank
Jalan Sultan Ismail
Peti Surat 12352
50774 Kuala Lumpur

Tel: 03-2615 2888
Faks: 03-2691 0727


2. Meningkatkan Kecekapan dan Produktiviti PKS



a)

Dalam persekitaran perniagaan semasa, penting bagi PKS mengambil langkah-langkah untuk memodenkan dan menambah baik mesin, peralatan dan operasi mereka, di samping menggunakan alat penjimatan tenaga bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Langkah-langkah berikut diperkenalkan untuk membantu PKS memodenkan operasi dan mengurangkan kos pengeluaran:



i) Kemudahan Pemodenan PKS Berjumlah RM500 juta


Bank Negara Malaysia akan menubuhkan Kemudahan Pemodenan PKS berjumlah RM500 juta bagi menyediakan pembiayaan kepada PKS untuk memodenkan operasi, terutamanya pembelian atau penambahbaikan mesin dan peralatan, di samping pembelian alat penjimatan tenaga. Di bawah Kemudahan ini, PKS yang berdaya maju boleh mendapatkan pembiayaan pada kadar 4% setahun daripada mana-mana bank perdagangan dan bank Islam, SME Bank, Bank Rakyat dan AgroBank, dengan perlindungan jaminan sebanyak 80% oleh CGC.

Jumlah pembiayaan maksimum di bawah Kemudahan ini ialah RM5 juta atau sehingga 95% daripada margin pembiayaan, dengan tempoh pembiayaan sehingga lapan tahun. Permohonan untuk pembiayaan baharu di bawah Kemudahan ini dibuka selama dua tahun, bermula 1 Ogos 2008.

Untuk maklumat lanjut, PKS boleh menghubungi institusi kewangan pelaksana atau BNMTELELINK di 1-300-88-5465.

ii) Program Latihan Amali PKS - Universiti


Kerajaan melalui SMIDEC akan meningkatkan usaha menyediakan perkhidmatan rundingan dan khidmat nasihat perniagaan bagi membantu PKS mengukuhkan operasi perniagaan mereka. Sehubungan dengan ini, "Program Latihan Amali PKS - Universiti" akan diperkenalkan, yang akan menghubungkan universiti dengan PKS. Di bawah program ini, pelajar universiti tahun akhir akan ditempatkan di PKS terpilih selama tiga bulan untuk membantu PKS memperkukuh operasi perniagaan mereka, terutamanya dalam bidang pengurusan asas, pengurusan kewangan, pemasaran di samping amalan dan penerapan teknologi. Kos program ini akan ditanggung oleh Kerajaan.

iii) Program Peningkatan Kemahiran


Memandangkan saiz PKS yang kecil, mereka sering menghadapi masalah untuk menghantar pekerja menghadiri program latihan. Oleh itu, SMIDEC telah melaksanakan Program Peningkatan Kemahiran dengan tujuan meningkatkan kemahiran dan keupayaan pekerja PKS dalam bidang teknikal, pengurusan dan pemasaran melalui program latihan. Untuk membantu lagi PKS, geran latihan yang disediakan oleh SMIDEC kini telah ditambah untuk mencakupi 80% daripada jumlah kos latihan.
b) Selain itu, PKS juga boleh memanfaatkan insentif berikut untuk memodenkan dan mengurangkan kos operasi mereka:



i) Pengecualian Duti Import dan Cukai Jualan Mesin dan Peralatan yang Dibeli oleh PKS untuk Operasi mereka


Semua pengilang, termasuk PKS, layak untuk mendapat pengecualian duti import dan cukai jualan bagi mesin dan peralatan yang digunakan secara langsung dalam operasi mereka. Pengecualian diberikan sekiranya mesin dan peralatan tidak dikeluarkan di negara ini dan pengimportan dilakukan terus oleh PKS. Dalam hal sekiranya mesin dan peralatan ialah keluaran tempatan, PKS layak mendapat pengecualian cukai jualan. Bagi pengimportan yang bukan dilakukan sendiri oleh PKS, pengecualian juga boleh diberikan kepada koperasi persatuan yang mengimport mesin dan peralatan, tetapi menyerahkannya kepada PKS.

ii) Inisiatif Kecekapan Penggunaan Tenaga


Sejak tahun 2004, SMIDEC telah menggalakkan PKS menjalankan audit tenaga untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan kos yang berkaitan dengan penggunaan tenaga di premis kilang. Bagi membantu syarikat menjalankan audit tenaga ini dan membeli peralatan atau peranti berkaitan penjimatan tenaga, PKS boleh memohon geran pemadanan daripada SMIDEC untuk memperbaik proses. Geran maksimum bagi setiap permohonan ialah RM500,000. Untuk memudahkan PKS menjalankan dan mengenal pasti inisiatif penjimatan kos, SMIDEC bekerjasama dengan Malaysian Association of Energy Service Companies (MAESCO) untuk mewujudkan kesedaran dan menggalakkan inisiatif kecekapan penggunaan tenaga dalam kalangan PKS.

iii) Insentif untuk Melabur dalam Peralatan Penjimatan Tenaga dan Peralatan Kecekapan Penggunaan Tenaga


Syarikat, termasuk PKS, yang membuat perbelanjaan modal untuk penjimatan tenaga bagi kegunaan sendiri layak untuk Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100% bagi perbelanjaan modal yang layak dalam tempoh lima tahun. Elaun ini akan ditolak sepenuhnya daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran. Selain itu, syarikat, termasuk PKS, juga layak untuk menuntut elaun modal bagi peralatan penjimatan tenaga dan peralatan kecekapan penggunaan tenaga.

http://mybizplan.50webs.com
http://rancanganperniagaan.co.cc
Share

Widgets

Popular Posts