Terbaru

Apakah Penyata Kewangan/Aliran Tunai Pendapatan/Cashflow



Apakah Penyata Kewangan/Aliran Tunai Pendapatan/Cashflow




Penyata Kewangan Sebagai Petunjuk Prestasi

Penyata Kewangan merupakan satu struktur kewangan yang mengandungi Kunci Kira-kira, Penyata Pendapatan, Penyata Pergerakan di dalam Ekuiti, Penyata Aliran Tunai dan Polisi Perakaunan dan Nota Penjelasan yang berfungsi untuk mempersembahkan kedudukan kewangan sesebuah entiti perniagaan. Maklumat yang sering dilihat dalam penyata kewangan ialah Aset, Liabiliti, Ekuiti, Untung dan Rugi dan Aliran Tunai. Analisis nisbah yang boleh digunakan dalam mengukur prestasi ialah nisbah-nisbah keberuntungan (profitability ratios), nisbah-nisbah kecekapan (efficiency ratios), dan nisbah-nisbah kecairan (liquidity ratios).

Analisis Seluruh Perniagaan Ladang
Analisis seluruh ladang memerlukan beberapa maklumat penting untuk meningkatkan atau membaiki sesuatu perniagaan. Kebiasaannya analisis menggunakan ringkasan kewangan yang utama: penyata pendapatan (penyata untung rugi), kunci kira-kira dan penyata aliran tunai.

Penyata pendapatan penting untuk menunjukkan prestasi perniagaan sepanjang tahun tersebut. Daripada penyata ini, gambaran tentang pulangan pelbagai sumber setelah ditolak semua perbelanjaan akan diperolehi. Kunci kira-kira merupakan maklumat yang penting untuk membandingkan perubahan yang berlaku tahun ke setahun ataupun untuk beberapa tahun. Penyata aliran tunai pula dapat membantu analisis dengan menunjukkan punca-punca dan kegunaan tunai sepanjang tahun. Ianya juga dapat membantu bila keperluan tunai diperlukan.

Analisis Perbandingan
Dengan menggunakan kaedah ini, keputusan yang diperolehi dibandingkan dengan suatu standard atau piawai yang telah ditetapkkan. Salah satu contoh standard ialah objektif belanjawan semasa merancang belanjawan.

Sekiranya keputusan yang diperolehi tidak mencapai matlamat yang ditentukan, ianya menunjukkan masalah sehingga menjejaskan prestasi perniagaan tersebut. Piawaian lain yang boleh digunakan ialah membandingkan pencapaian perniagaan dengan ladang-ladang lain yang hampir sama dari segi jenis dan saiz.

Analisis Arah Aliran
Bagi membolehkan analisis arah aliran, peladang perlu merekodkan rekod kewangan perniagaan mereka untuk beberapa tahun. Daripada analisis tersebut, peladang boleh mengenalpasti sama ada prestasi ladangnya menaik atau menurun. Untuk prestasi yang menunjukkan aliran menurun, kajian lebih terperinci perlu dilakukan.

Proses membuat analisis dan Jenis analisis
Sepertimana melakukan penyelidikan, analisis seluruh ladang dimulakan dengan mengenalpasti masalah, diikuti dengan mendefinisikan masalah, dan mencari alternatif bagi mengatasi masalah tersebut. Di antara analisis seluruh ladang yang boleh dibuat ialah analisis kewangan, keberuntungan, saiz ladang, kecekapan dan bidang kuasa.


Analisis Kewangan

Analisis kewangan tertumpu kepada kedudukan modal perniagaan termasuk kemampubayaran, kecairan, dan perubahan nilai bersih perniagaan tersebut. Di antara analisis kewangan yang kerap digunakan ialah Nisbah Semasa, Nisbah modal operasi, Nisbah hutang-ekuiti, nisbah modal bersih, dan nilai bersih.

Analisis keberuntungan

Perniagaan yang mempunyai kemampubayaran dan kecairan yang baik tidak semestinya merupakan sebuah perniagaan yang menguntungkan. Keberuntungan boleh ditentukan dengan mengkaji rekod Penyata Pendapatan (atau akaun untung rugi). Ukuran keberuntungan yang boleh dilakukan ialah pendapatan ladang bersih, pulangan buruh, pulangan pengurusan, modal dan ekuiti. Kritikan terhadap kaedah ini ialah ianya hanyalah ukuran pulangan faktor dan bukannya pulangan sut. Sebagai contoh, kadar pulangan modal ialah purata kadar pulangan semua modal yang dilaburkan dalam perniagaan dan bukannya pulangan sut bagi ringgit terakhir yang dilaburkan.

Analisis Saiz

Masalah pendapatan dan keberuntungan mungkin wujud pada sesuatu musim disebabkan oleh cuaca yang buruk yang menjejaskan hasil tanaman, serangan penyakit, atau harga yang rendah akibat dari peningkatan pengeluaran barangan pengganti. Jika masalah ini berterusan pada musim-musim apabila purata hasil dan harga adalah baik, masalah ini boleh dikesan dengan mengkaji saiz ladang atau operasi ladang tidak cekap.


PENYATA ALIRAN TUNAI

Penyata aliran tunai merupakan satu penyata yang menunjukkan aliran masuk dan aliran keluar kesetaraan tunai. Dengan melihat penyata ini, kita mendapat maklumat mengenai factor-faktor yang menyebabkan perubahan baki tunai syarikat dari tempoh awal hingga tempoh akhir sesuatu laporan kewangan. Terdapat tiga elemen penting dalam penyata aliran tunai, iaitu:

a) Aliran tunai daripada aktiviti kendalian – merupakan aktiviti utama pengeluaran hasil perusahaan dan aktiviti lain, selain dari aktiviti pelaburan dan pembiayaan.

b) Aliran tunai daripada aktiviti pelaburan – Aliran masuk dan keluar tunai daripada pemerolehan dan pelupusan aset jangka panjang, serta pelaburan lain.

c) Aliran tunai daripada aktiviti pembiayaan – Aliran masuk dan keluar tunai daripada aktiviti yang menyebabkan perubahan saiz dan komposisi modal ekuiti dan pinjaman perusahaan.


Polisi perakaunan dan nota penjelasan (explanatory notes)

Nota penyata kewangan perusahaan perlu:

a) Membentangkan maklumat mengenai asas penyediaan penyata kewangan dan dasar perakaunan tertentu yang dipilih dan digunakan untuk urus niaga dan butiran penting.

b) Mendedahkan maklumat yang dikehendaki oleh piawaian perakaunan yang tidak dibentangkan di mana-mana tempat dalam penyata kewangan.

c) Menyediakan maklumat tambahan yang tidak dibentangkan pada muka penyata kewangan, tetapi ia perlu bagi pembentangan yang saksama.


Borang Penyata Aliran Tunai

Jadual menunjukkan contoh belanjawan aliran tunai. Semua aliran masuk tunai yang diunjurkan daripada kedua-dua punca, iaitu lading dan bukan lading dicatatkan pada 13barisan yang pertama. Oleh sebab pendapatan dan perbelanjaan bukan lading juga mempengaruhi kedudukan tunai sesuatu perniagaan berbentuk lading, butiran tersebut harus dimasukkan dalam Penyata Aliran Tunai. Setiap jenis pendapatan yang dijangkakan harus dijumlahkan untuk tahun berkenaan dan diisi pada ruangan jumlah yang terdapat pada boring tersebut, dan jumlah ini kemudiannya dibuat mengikut bulan bila pendapatan tersebut diterima.


Sekiranya jumlah aliran masuk tunai untuk bulan tersebut adalah lebih besar daripada jumlah aliran keluar tunai, jumlah ini boleh digunakan untuk membayar sebahagian atau semua hutang jangka pendek yang baru dibuat pada awal tahun. Baki tunai akhir untuk bulan tersebut dimasukkan sebagai baki tunai awal untuk bulan berikutnya. Proses ini berulang untuk bulan seterusnya.


*** Jika inginkan Software Akaun Perniagaan Sila ke https://softwareperniagaan.mybizcore.com







Cloud Based POS System