Klik untuk dapatkan Software Rancangan Perniagaan

Friday, November 11, 2011

Cara-Cara/Panduan Memulakan Perniagaan/bisnes


Faktor-faktor Yang Dipertimbangkan Apabila Memulakan Perniagaan
 
Modal
Usahawan mesti mempunyai modal yang cukup untuk memulakan dan menjalankan perniagaan.
Jumlah modal yang diperlukan bergantung kepada saiz dan jenis perniagaan, lokasi perniagaan, dan jumlah kredit yang hendak diberikan kepada para pelanggan.
Modal boleh datang daripada simpanan sendiri atau pinjaman daripada sahabat handai atau sanak saudara ataupun dari bank. Bagi mendapatkan pinjaman bank, satu kertas kerja perlu disediakan untuk meyakinkan pihak bank tentang kemampuan membayar balik pinjaman.
Lokasi (Tempat Perniagaan)
Usahawan mesti bijak memilih lokasi yang strategik atau sesuai bagi menjamin kejayaan perniagaan. Perniagaan harus diletakkan di tempat yang mempunyai daya kuasa beli yang tinggi dan kurang persaingan.
Pemilihan lokasi juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti modal, kos sewa, persaingan, kemudahan infrastruktur, undang-undang dan lain-lain.
Minat, pengetahuan dan pengalaman
Usahawan mesti mempunyai minat dalam perniagaan. Minat itu mestilah berkekalan dan bukan sekadar sementara waktu sahaja. Jika tidak, perniagaannya susah untuk dijalankan.
Usahawan juga perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan yang akan diceburinya. Contohnya, jika dia hendak membuka kedai pakaian, dia mesti tahu dari mana untuk mendapatkan stok pakaian itu.
Usahawan juga harus memperoleh pengetahuan dan pengalaman mengenai selok-belok pengurusan, mengurus wang, stok, masa, melayan pelanggan, menyimpan rekod dan akaun- serta lain-lain lagi.

 
Pengalaman boleh diperoleh dengan cara bekerja, sebagai pembantu dalam bidang perniagaan yang berkenaan.
Pengetahuan boleh diperoleh dengan belajar di sekolah, maktab atau universiti, membaca buku-buku yang berkenaan, mengikut kursus perniagaan, bertanya, berbincang dan memerhati peniaga-peniaga lain menjalankan perniagaan mereka.
 
Jenis dan saiz perniagaan
Usahawan mesti menentukan jenis dan saiz perniagaan yang hendak dijalankan. Jenis perniagaan hendaklah bersesuaian dengan kebolehan, pengetahuan dan pengalamannya.
Saiz perniagaan hendaklah juga bersesuaian dengan modal yang ada, kebolehan, pengalaman dan pengetahuan untuk mengawal dan mengurus perniagaan itu. Saiz perniagaan yang kecil mudah dimulakan serta diurus. Perniagaan secara besar-besaran memerlukan modal yang besar dan tidak begitu mudah dikendalikan.
Persaingan
Usahawan juga mesti memikirkan tentang persaingan yang akan dihadapinya. Kajian perlu dibuat untuk mengenal pasti pesaing-pesaing, bilangannya, saiz perniagaan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan sambutan para pelanggan terhadap perniagaan mereka.
Membuka perniagaan di tempat yang banyak mempunyai persaingan tentu tidak akan dapat menarik ramai pelanggan pada mulanya. Tetapi jika usahawan dapat memberi layanan yang lebih baik, pelbagai pilihan barang, harga yang berpatutan dan perkhidmatan selepas jualan yang memuaskan banyak pelanggan akan tertarik untuk kekedainya.
Bagaimanapun usahawan perlu mengadakan rancangan dan ikhtiar yang rapi dan bernas untuk mengatasi para pesaing.

 
Undang-undang dan peraturan
Usahawan mesti mengetahui undang-undang, peraturan-peraturan serta akta-akta yang mengawal perjalanan perniagaan dalam negara kita agar tidak melanggar undang-undang, peraturan, atau akta yang boleh menghalang perjalanan perniagaan.
Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Tempatan, Majlis Bandaran atau Dewan Bandar Raya telah menetapkan jenis-jenis perniagaan yang boleh dijalankan di kawasan-kawasan tertentu serta jenis lesen yang diperlukan. Usahawan mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Di samping itu, semua perniagaan mesti didaftarkan dengan pihak-pihak tertentu kecuali penjaja bergerai yanng hanya perlu mendapatkan lesen menjaja daripada pihak berkuasa tempatan.
Usahawan juga mesti mematuhi berbagi-bagai akta seperti Akta Perihal Dagangan, Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain.
Sumber bekalan
Usahawan perlu mengetahui tempat-tempat di mana ia mendapat bekalan barang-barang dengan seberapa murah dan mudah.
Usahawan harus tahu pembekal mana yang dapat menawarkan diskaun dan kredit yang lebih baik.
 
Memulakan Sendiri
Seseorang boleh memulakan perniagaan sendiri jika ia mempunyai keyakinan dan kebolehan tentu ia akan berjaya. Untuk memulakan perniagaan sendiri, ia hanya perlu memastikan kewujudan perkara-perkara berikut :-
Pengalaman dan pengetahuan
Minat yang berterusan
Modal yang mencukupi
Punca bekalannya
Peraturan dan undang-undang tempatan
Jenis perniagaan yang ingin dijalankan
Lokasi perniagaan
Ramai pelanggan dan usahawan yang berjaya pada hari ini telah memulakan kegiatan perniagaan dengan sendiri.
Ambil Alih

Satu lagi cara untuk memulakan perniagaan ialah dengan mengambil alih atau bergabung. Ia bermaksud sebuah perniagaan yang sedang maju membeli atau bergabung dengan sebuah perniagaan yang lain dan mengambil alih pengurusannya. Di sini perkembangan perniagaan berlaku dengan cepat.
Apabila seseorang peniaga mengambil alih atau bergabung dengan sesuatu perniagaan, ia seharusnya menggunakan pengalaman dan pengetahuannya untuk :-
merundingkan harga yang terbaik
mendapatkan syarat-syarat bergabung atau ambil alih yang baik dari penjual.
Faktor-faktor yang dipertimbangkan apabila mengambil alih perniagaan :-
Kewangan perniagaan
Pada asasnya proses mengambil alih perniagaan lain perlulah mengambil kira langkah-langkah seperti membuat kajian awal untuk menilai kedudukan kewangan dan kadar keuntungan di samping meneliti dan memeriksa setiap butir kewangan yang disediakan oleh pemilik. Ia bertujuan memastikan kewangan perniagaan yang diambil adalah kukuh. Kajian juga termasuk mengkaji aset perniagaan yang ada seperti premis, lengkapan dan perabot agar mempunyai nilai semasa yang baik. Di samping itu, liabiliti perniagaan seperti pinjaman dan pemiutang juga perlu diketahui agar tidak menanggung beban hutang yang tinggi.
Faedah yang dinikmati
Kajian tentang kelebihan-kelebihan yang boleh didapati jika mengambil alih perniagaan tersebut juga perlu diambilkira, umpamanya dapat memiliki teknologi dan kepakaran yang ada. Begitu juga dengan aset seperti tanah dan bangunan yang boleh dimajukan untuk perkembangan masa hadapan. Bahagian pasaran yang telah dikuasai turut dinikmati dan pelanggan perniagaan dapat dikuasai.
 
Masalah yang dihadapi
Masalah-masalah yang dihadapi oleh perniagaan tersebut yang menyebabkan pemiliknya ingin menjualnya juga harus diambilkira untuk dikaji. Ini bertujuan supaya kita dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dan menjadikannya sebuah perniagaan yang menguntungkan. Contohnya, jika perniagaan tersebut menghadapi persaingan yang hebat, kenalpasti pesaing tersebut dan kaji kelemahan yang ada untuk mengatasi persaingan.
Potensi berkembang
Masa hadapan perniagaan tersebut hendaklah dikaji samada ianya berpotensi untuk berkembang maju lagi. Kajian masa hadapan ini boleh dilakukan dengan melihat statistik-statistik serta keadaan pasaran semasa. Umpamanya, perkhidmatan bas mini di kawasan Shah Alam diadakan berdasarkan kepada banyaknya kawasan perumahan dan perindustrian yang telah didirikan di mana terdapatnya banyak permintaan untuk perkhidmatan tersebut. Beberapa tahun yang lepas ia tidak diadakan kerana perkembangan dan pembangunan kawasan tersebut masih dalam perancangan.
Persaingan yang akan dihadapi
Persaingan yang akan dihadapi juga diambil kira. Buat kajian dan kenalpasti pesaing yang wujud. Kaji kelemahan dan kekuatan pesaing tersebut supaya kita boleh mengatur rancangan atau strategi untuk mengatasinya. Contohnya, jika pesaing mempunyai kepakaran tertentu, cuba pelajari kepakaran tersebut atau dapatkan kepakaran orang lain sebagai rakan kongsi atau diambil sebagai rakan kongsi atau diambil bekerja.
Minat dan kecenderungan yang ada
Minat dan kecenderungan semula jadi perlu ada apabila ingin mengambil alih perniagaan. Tanpa minat dan kecenderungan ini, sudah tentu apa yang dilakukan nanti tidak sampai ketahap yang dikehendaki. Minat dan kecenderungan merupakan asas bagi memulakan sesuatu perniagaan, oleh itu pastikan ianya wujud di hati kita.
Warisan
Ada juga perniagaan yang diwarisi daripada ibubapa, nenek moyangnya, atau warisan keluarga.
Jenis perniagaan ini biasanya kukuh dan telah lama wujud dalam perniagaan.
Diundang
  
Diundang bermaksud perniagaan yang kekal dan sudah wujud mengundang seseorang @ sesebuah syarikat untuk menjadi rakan kongsi @ bergabung dengan syarikat induk. Individu @ syarikat ini diundang kerana potensi yang ada padanya dan prestasi individu tersebut @ syarikat tersebut amat baik.

Panduan membuat kertas kerja perniagaan KLIK DISINI

Share

Widgets

Popular Posts

Software Perniagaan

Format dan Contoh Bisnes Plan

Sampel Bisnes Plan