Terbaru

PKS - Permohonan Pinjaman dan Keperluan Pembiayaan

PKS - Permohonan Pinjaman dan Keperluan Pembiayaan
1. Apakah maklumat yang perlu saya kemukakan kepada institusi kewangan untuk mendapatkan kemudahan kredit?
Kebanyakan institusi kewangan mempunyai senarai semak yang menyenaraikan dokumen-dokumen yang diperlukan. Sila bertanya kepada institusi kewangan yang berkenaan untuk mendapatkan senarai semaknya.
2. Bolehkah saya mendapat pembiayaan jika saya menceburkan diri dalam perniagaan buat pertama kali?
Institusi kewangan adalah dalam perniagaan menyediakan pembiayaan dan akan memberi pertimbangan untuk memberi pinjaman kepada sebarang perniagaan yang berdaya maju walaupun ianya adalah perniagaan yang baru. Namun demikian,
institusi kewangan akan meneliti trek rekod syarikat berkenaan atau akaun peribadi pemohon apabila menyemak semula permohonan pinjaman.
3. Mengapakah institusi kewangan memerlukan pelan perniagaan? Siapa boleh membantu saya untuk menyediakan pelan perniagaan?
Melalui pelan perniagaan, institusi kewangan boleh mendapatkan maklumat berhubung dengan perniagaan peminjam seperti latar belakang peminjam dan industri, kedudukan kewangan peminjam, unjuran perniagaan peminjam, strategi perniagaan dan keperluan operasi peminjam. Anda boleh meminta bantuan bank perdagangan terlibat untuk menyediakan pelan perniagaan tersebut sekiranya anda mengalami kesukaran untuk menyediakannya. Hampir semua bank perdagangan mempunyai Unit Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) yang berdedikasi. Unit ini ditubuhkan untuk menangani keperluan perusahaan kecil dan sederhana, termasuk memberi khidmat nasihat.
4. Adakah perlu saya mengemukakan pelan perniagaan kepada institusi kewangan bagi jumlah pinjaman yang kecil seperti pinjaman sebanyak RM10,000?
Keperluan pelan perniagaan bergantung kepada institusi kewangan terbabit. Anda harus merujuk kepada institusi kewangan anda mengenai perkara ini.
5. Adakah peluang perusahaan kecil dan sederhana untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan akan berkurangan sekiranya tidak ada cagaran?
Tidak. Tujuan meminta cagaran adalah untuk memastikan bahawa peminjam komited untuk membayar balik pinjaman yang telah diambil. Kriteria utama yang digunakan oleh institusi kewangan untuk menaksir sesuatu permohonan pinjaman adalah daya maju perniagaan pemohon.
6. Bagaimana sekiranya institusi kewangan tetap inginkan cagaran?
Bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana yang berdaya maju dengan cagaran yang tidak mencukupi, Kerajaan telah menubuhkan Syarikat Jaminan Kredit untuk menyediakan jaminan bagi pinjaman yang diambil daripada institusi kewangan. Jaminan oleh Syarikat Jaminan Kredit ini akan menyokong cagaran yang mungkin berbeza di antara institusi kewangan. Buat masa ini, Syarikat Jaminan Kredit mengendalikan enam skim jaminan, yang mana butir-butir lanjut boleh didapati dengan melayari www.cgc.gov.my.
7. Apakah alasan-alasan institusi kewangan untuk menolak permohonan sesuatu pinjaman?
Alasan-alasan menolak permohonan kredit termasuk:

- Pemohon tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik kemudahan yang dipohon
- Tujuan pinjaman adalah tidak selaras dengan kemudahan yang dipohon
- Keputusan kewangan pemohon yang tidak memuaskan
- Pemohon mempunyai pinjaman luar yang banyak sehingga mengakibatkan penggearan yang tinggi (iaitu jumlah pinjaman adalah lebih tinggi daripada modal)
- Pengendalian akaun semasa yang tidak memuaskan oleh pemohon
- Rekod pembayaran balik yang kurang memuaskan dengan pemberi pinjaman yang lain
- Pemohon mempunyai kes yang sedang menunggu tindakan guaman
- Risiko perniagaan yang tinggi seperti terlalu bergantung kepada pembeli atau pembekal tunggal
- Kekurangan komitmen kewangan daripada pemilik perniagaan, iaitu tidak bersedia untuk menyumbang modal kerja tambahan
- Pengurusan yang lemah
- Empunya tunggal/perkongsian/pengarah-pengarah/pemegang-pemegang/penjamin dan sebagainya yang menghadapi tindakan kebankrapan daripada pihak lain

Satu keperluan Bank Negara Malaysia ialah institusi kewangan seharusnya memaklumkan keputusan kreditnya kepada peminjam secara formal dan bertulis, yang dengan jelas mengenal pasti bidang yang gagal dipenuhi oleh peminjam. Ini adalah untuk memastikan bahawa peminjam mengetahui alasan penolakan dan membantu peminjam memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti sebelum mengemukakan permohonan pinjaman lain pada masa akan datang.
8. Bolehkah saya mengemukakan permohonan pinjaman kepada lebih daripada sebuah institusi kewangan?
Boleh. Walau bagaimanapun, anda mungkin akan dikenakan fi pemprosesan sekiranya anda menolak pinjaman tersebut setelah ia diluluskan.
9. Apa yang boleh saya lakukan sekiranya institusi kewangan menolak permohonan pinjaman saya?
Setiap institusi kewangan mempunyai satu set garis panduan kredit dan kriteria penilaian kredit masing-masing. Apabila institusi kewangan memaklumkan keputusannya dan alasan penolakan kepada anda, anda sepatutnya berhubung dengan institusi berkenaan untuk mengetahui apa yang anda boleh buat bagi membolehkan mereka mempertimbangkan semula permohonan anda dan selepas itu, mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memenuhi keperluan institusi kewangan. Sebagai alternatif, anda boleh memohon pinjaman daripada institusi kewangan yang lain.
10. Bolehkah sesebuah institusi kewangan mengurangkan jumlah kemudahan kredit (seperti kemudahan overdraf, kemudahan perdagangan) yang dahulunya telah diberikan kepada saya?
Semua institusi kewangan menjalankan kajian semula berkala ke atas potfolio kredit dan berdasarkan kepada penilaian mereka, mungkin mengambil keputusan untuk mengurangkan pendedahan kredit kepada sebarang peminjam. Institusi kewangan boleh berbuat demikian atas beberapa sebab termasuk penggunaan kemudahan yang rendah (overdraf dan kemudahan perdagangan) atau pengendalian akaun yang tidak memuaskan (overdraf).

Hak ini biasanya dinyatakan di dalam surat tawaran atau dokumen-dokumen yang lain. Walau bagaimanapun, institusi-institusi kewangan biasanya akan memberi notis awal mengenai keputusan mereka untuk mengurangkan kemudahan kredit peminjam untuk membolehkan peminjam mencari kaedah alternatif. Walau apapun, institusi kewangan mungkin akan mempertimbangkan sebarang rayuan/permohonan daripada peminjam untuk mengembalikan kemudahan kredit ke tahap asal, sekiranya wajar.
11. Saya menghadapi masalah untuk membayar balik berdasarkan amaun ansuran sekarang tetapi saya mampu membayar ansuran yang lebih rendah. Apa yang perlu saya lakukan?
Anda boleh merujuk kepada institusi kewangan anda dan memohon penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman anda. Ia biasanya dilakukan dalam bentuk bayaran bulanan yang lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran pinjaman. Walau bagaimanapun, anda mesti memberikan kepada institusi kewangan anda maklumat lengkap mengenai kedudukan kewangan anda untuk membolehkan mereka membuat penilaian.
12. Di manakah boleh saya membuat aduan terhadap institusi kewangan saya?
Semua bank perdagangan dan syarikat kewangan telah dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia untuk menubuhkan unit aduan di institusi masing-masing. Anda seharusnya cuba menyelesaikan aduan anda dengan institusi kewangan anda terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, anda boleh merujuk masalah anda kepada Bank Negara Malaysia. Untuk isu-isu berkaitan dengan pinjaman perniagaan oleh kaum Bumiputera, anda juga boleh merujuk kepada ERF Sdn. Bhd. (sebuah badan khas yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia sebagai pusat setempat untuk menangani isu-isu berkaitan pembiayaan Bumiputera).
13. Di manakah boleh saya mendapat khidmat nasihat kewangan berhubung dengan perniagaan saya?
Hampir semua bank perdagangan telah menubuhkan Unit Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) yang menyediakan khidmat nasihat kewangan kepada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana.

Di samping itu, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Unit Khidmat Nasihat Kewangan untuk membantu perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana yang berdaya maju dengan membekalkan maklumat mengenai berbagai-bagai sumber pembiayaan yang ada, melancarkan proses permohonan pinjaman, menangani masalah yang dihadapi oleh perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana untuk mendapat pinjaman daripada institusi-institusi kewangan dan menyediakan khidmat nasihat. Unit tersebut boleh dihubungi di:

Jabatan Kewangan Pembangunan & Enterpris
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
14. Apakah fungsi ERF Sdn. Bhd.?
ERF Sdn. Bhd. adalah satu pusat setempat yang telah ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memberi pembiayaan dan khidmat nasihat kepada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera.
15. Bagaimanakah caranya untuk saya mendapatkan akses kepada tabung khas yang disediakan oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia?
Tabung khas yang disediakan oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia disalurkan kepada orang awam melalui institusi-institusi kewangan, atau secara kolektifnya dikenali sebagai institusi-institusi kewangan yang terlibat atau agensi-agensi yang dilantik oleh kerajaan. Kriteria dan objektif tabung khas termasuk kadar pinjaman ditentukan oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia, sekali gus mengawasi penggunaan tabung khas tersebut.
16. Apakah peranan yang dimainkan oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat berkaitan dengan tabung khas?
Pada asasnya, peranan institusi-institusi kewangan yang terlibat adalah untuk menilai permohonan pinjaman dan menentukan kelayakan dan daya maju projek-projek yang akan dibiayai. Perusahaan Kecil dan Sederhana boleh menyerahkan permohonan pinjaman tabung khas melalui institusi-institusi kewangan yang terlibat yang berkenaan.

Meskipun pinjaman-pinjaman ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia, keputusan untuk meluluskan atau menolak permohonan pinjaman adalah tertakluk kepada penilaian institusi kewangan yang terlibat yang berkenaan. Ini adalah kerana risiko kredit akan ditanggung oleh institusi kewangan yang terlibat yang berkenaan. Di samping itu, institusi-institusi kewangan yang terlibat akan mengawasi pembayaran balik daripada peminjam-peminjam.
17. Adakah borang-borang tertentu yang perlu diisi untuk membuat permohonan tabung khas?
Tidak. Kerajaan/Bank Negara Malaysia tidak menyediakan borang tertentu untuk permohonan tabung khas. Pemohon boleh menggunakan borang-borang yang disediakan oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat.
18. Bagaimana kalau pemohon tidak memenuhi syarat-syarat cagaran yang dikenakan oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat?
Keperluan cagaran adalah berdasarkan penilaian kredit dan profil risiko pemohon. Kriteria utama ialah daya maju sesuatu projek. Antara faktor-faktor lain yang turut diambil kira adalah karektor dan integriti pemohon, keupayaan untuk membayar balik pinjaman, komitmen modal dan keadaan perniagaan. Institusi-institusi kewangan yang terlibat juga boleh menolak permohonan jika permohonan tersebut tidak mengandungi maklumat yang cukup bagi membolehkan penilaian kredit dibuat. Untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana, Syarikat Jaminan Kredit juga mempunyai beberapa skim jaminan kredit untuk manfaat pemohon-pemohon yang tiada cagaran atau mempunyai cagaran yang tidak mencukupi.
19. Memandangkan tabung khas ini disediakan oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia, adakah pelanggan diwajibkan membayar balik pinjaman tersebut?
Pelanggan (peminjam) adalah terikat dengan perjanjian pinjaman yang mereka tandatangani. Ini dianggap penting khususnya bagi membolehkan Kerajaan/Bank Negara Malaysia untuk meneruskan program bantuannya kepada pemohon- pemohon yang layak memandangkan saiz tabung akan berkurangan jika peminjam-peminjam gagal membayar balik pinjaman. Peminjam akan menandatangani dokumen perjanjian pinjaman di mana semua syarat-syarat dinyatakan termasuk tindakan-tindakan yang akan diambil oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat jika peminjam mungkir.
20. Bolehkah saya memohon pinjaman yang baru jika pinjaman sedia ada telah diklasifikasikan sebagai pinjaman tidak berbayar?
Rekod kredit yang negatif boleh menjejaskan penilaian kredit pemohon. Anda patut membincang hal ini dengan institusi kewangan berkenaan dan merumuskan satu skim pembayaran balik dengan institusi kewangan berkenaan. Setelah akaun anda dikemaskinikan, rekod kredit anda akan mencerminkan keadaan yang lebih baik.
21. Mengapa institusi-institusi kewangan menghendaki penyata-penyata kewangan untuk tiga tahun?
Institusi-institusi kewangan biasanya akan meminta penyata-penyata kewangan untuk tiga tahun bagi membolehkan mereka membuat perbandingan dalam menentukan trend perkembangan perniagaan untuk menilai keupayaan peminjam membuat pembayaran balik.

softwareperniagaan.mybizcore.com

Cloud Based POS System